19 Februari 2013 - Sebagai salah satu langkah promosi pembukaan cawangan ADTEC Kulim SDC (Skills Development Centre) di bangunan KHTP kepada industri, satu sesi perbincangan bersama Kulim Industrial Tenants Association (KITA) telah diadakan. Seramai 12 wakil industri sekitar Kulim Hi-Tech Park dan wakil IPTA hadir bersama untuk membincangkan peluang kerjasama yang dapat dijalankan bersama ADTEC Kulim. Sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh Tuan Pengarah ADTEC Kulim, Eng. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali dimulakan dengan kata-kata aluan dan sesi pengenalan setiap ahli yang hadir sebelum tayangan Video Korporat ADTEC Kulim bagi memberi penerangan secara ringkas mengenai sejarah penubuhan dan kursus-kursus yang ditawarkan. Seterusnya, En Mohd Zakir bin Mahmud selaku Timbalan Pengarah Pengurusan Sumber ADTEC Kulim merangkap CEO ADTEC Kulim SDC, membuat pembentangan yang komprehensif mengenai peluang-peluang kerjasama yang boleh direalisasikan oleh ADTEC Kulim bersama pihak industri. Antara kerjasama yang dibincangkan adalah penempatan sementara pengajar di industri (staff attachment), program latihan secara skim latihan dwi nasional (SLDN), Skim Kemahiran dan Kerjaya 1 Malaysia, Pentauliahan secara Penilaian Pencapaian Terdahulu (PPT), dan penempatan pelajar untuk latihan industri. Sebelum sesi berakhir, slot soal jawab dibuka bagi merungkai segala persoalan oleh pihak industri. Sesi perbincangan berakhir dengan ucapan penutup oleh Tuan Pengarah dengan harapan satu bentuk kerjasama dapat direalisasikan bersama KITA dalam memastikan kualiti tenaga mahir negara dapat dipertingkatkan.
https://adteckulim.gov.my/2017/index.php/ms/arkib-berita-2013/18-feb-2013/83-mesyuarat-adtec-kulim-bersama-kita#sigFreeId182abc19e7