19 hingga 21 April 2013 - Bertempat di Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai Nibong Tebal (ILPAPNT), satu Karnival Kecemerlangan Ko-Kurikuum ILJTM Wilayah Utara Tahun 2013 telah berlangsung dengan meriahnya setelah tujuh tahun karnival ini terhenti. Karnival ini diadakan dua tahun sekali bertujuan mengeratkan silaturrahim diantara pelajar dan pengajar dari ILJTM yang berlainan. Karnival ini disertai oleh sembilan ILTJM seperti ADTEC Kulim, ADTEC Taiping, JMTI, ILP Kepala Batas, ILP Perai, ILP Jitra, ILP Kangar, ILP Arumugam Pillai Nibong Tebal dan ILP Ipoh. Acara-acara sukan yang terlibat adalah bola sepak, bola jaring, bola tampar lelaki dan wanita, sepak takraw, badminton, tarik tali dan dart.
Karnival ini dimulakan dengan pendaftaran penginapan di asrama ILPAPNT dan asrama Kompleks Belia dan Sukan Jawi bermula pada 19 April jam 5.00 petang sehingga 7.00 malam. Selepas merehatkan diri dan bersolat maghrib, satu taklimat diadakan pada pukul 9.00 malam kepada semua ketua kontijen dan pengurus-pengurus pasukan kerana terdapat perubahan jadual, tempat perlawanan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Acara sukan dimulakan pada sebelah pagi 20 April 2013 sehingga tengahari pada 21 April 2013.
Selepas tamat kesemua acara, majlis penutup karnival dimulakan dengan ucapan penutup daripada Pengarah ILPAPNT, Puan Junnaina binti Husin Chua dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Dato' Hj. Romli Bin Hj. Hassan dan diteruskan dengan majlis penyampai hadiah kepada para pemenang dan johan keseluruhan.
Dalam karnival ini, ADTEC Kulim telah berjaya merangkul dua emas dalam acara bola tampar wanita dan sepak takraw, satu perak dalam acara bola tampar lelaki dan satu gangsa dalam acara bola jaring dengan pengumpulan mata sebanyak 16 mata menjadikan ADTEC Kulim berada di tempat yang ketiga secara keseluruhannya, iaitu dua mata sahaja dibelakang johan keseluruhan iaitu JMTI dengan 18 mata (2 emas dan 2 perak) dan naib johan keseluruhan iaitu ILP Ipoh sebanyak 17 mata (1 emas 3 perak 2 gangsa).
Selesai acara penyampai hadiah, ADTEC Kulim telah diumumkan sebagai tuan rumah yang seterusnya dan dijangka akan diadakan pada tahun 2015. ADTEC Kulim akan berusaha untuk menjadi tuan rumah yang terbaik pada karnival yang akan datang. ADTEC Kulim juga berharap akan menjadi johan keseluruhan untuk karnival yang akan datang.