PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) KULIM
ms MS en EN

Keratan Akbar

Program Yang Ditawarkan

Hasrat tubuh Jawatankuasa Perundingan TVET

 

24 Januari, IPOH - Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) berhasrat menggerakkan inisiatif mewujudkan Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Nasional bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan TVET. Pengerusinya Nordin Abdul Malek berkata, setelah berbincang dengan pelbagai pihak, jawatankuasa yang dicadangkan itu akan dianggotai pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkepentingan dan mempelawa agensi dari lapan kementerian bertanggungjawab menguruskan TVET bagi berkongsi pengalaman serta pandangan. "Jawatankuasa yang akan ditubuhkan ini bukan bertujuan menyaingi Majlis TVET seperti yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia sebaliknya akan memberikan input kepada mereka memandangkan pihak kami sudah mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi. "Kita akan berbincang bagi mendapatkan cadangan penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dan syor-syor ini nanti akan diserahkan kepada perdana menteri untuk diberikan perhatian sewajarnya serta diangkat ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Nordin berkata, dalam pada itu, pihaknya turut mempelawa Majlis Profesor Negara (MPN) memimpin jawatankuasa ini memandangkan mereka merupakan badan penting dalam memberikan nasihat dan pandangan terhadap isu-isu berkaitan pendidikan negara. Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut bersifat terbuka, sukarela, tiada kepentingan dan tidak mempunyai agenda tersembunyi sebaliknya dengan niat ikhlas mahu isu-isu dalam pelaksanaan TVET di negara ini diselesaikan pada kadar segera. Sementara itu, mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot bahawa kementeriannya akan menerajui pelaksanaan TVET, Nordin berkata, pihaknya menyambut baik perkara tersebut. Namun katanya, kementerian tersebut masih belum menjawab beberapa isu utama yang ditimbulkan pihak GILKSB sebelum ini. "Kita juga bimbang beberapa perkara yang dicadangkan menteri hanya mengulangi tindakan sebelum ini seperti Focus Group untuk menyelaraskan TVET yang pernah diadakan terdahulu tetapi masih gagal menyelaraskan sehingga sekarang. "Akibatnya, wujud kesan kronik dalam kalangan kolej-kolej vokasional, sekolah harian yang mengambil subjek vokasional kerana berdepan masalah pentauliahan dan masalah-masalah lain membabitkan pelajar," katanya. Nordin berkata, dalam pada itu, isu dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang terus berhadapan masalah apabila peruntukan pada tahun ini difahamkan terus berkurangan.Katanya, terbaharu, pusat-pusat bertauliah swasta berdepan masalah besar apabila kuota pelajar pada tahun ini ditangguhkan tanpa alasan konkrit sekaligus menjejaskan program pembelajaran dan pembiayaan pelajar. Beliau berkata, kesemua isu yang dikemukakan sebelum ini perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh kementerian terbabit sebelum sebarang cadangan baharu hendak dilaksanakan.

 

 

sumber : SINAR HARIAN

ADTEC Kulim +