KUALA LUMPUR 31 OKTOBER 2018: Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD ialah langkah penting untuk mengukuhkan usaha reformasi penstrukturan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata, ia seiring ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju yang saksama, lestari dan menyeluruh menjelang 2025.
“Matlamat asal menyasarkan ia berupaya dicapai pada 2025, tetapi mungkin lebih awal. Bergantung kepada kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Industri4WRD, di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Dorell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Presiden Persekutuan Perkilangan Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.
Ditanya sama ada pengumuman dasar baharu itu akan disusuli pemberian insentif atau subsidi sebagai pemangkin, Dr Mahathir berkata, pendekatan sedemikian ialah corak pentadbiran terdahulu diterajui Barisan Nasional (BN).
Katanya, peruntukan bantuan mencakupi insentif, geran dan subsidi akan menyemai mentaliti salah dalam kalangan rakyat, selain menjadikan mereka malas untuk berusaha.
“Saya putus asa... Semua orang nak subsidi, insentif. Kenapa tidak ambil saja keuntungan itu. Mereka berikan rakyat wang, itu apa yang kerajaan terdahulu lakukan.
“Mereka tidak perlu bekerja pun dapat RM500. Kalau Malaysia jadi sedemikian, lama-lama mereka tidak boleh berfikir, bergerak atau lakukan apa saja untuk manfaat sendiri kerana sering menagih subsidi,” katanya.
Dr Mahathir berkata, persoalan mengenai sama ada kerajaan akan memperuntukkan insentif sering diutarakan setiap kali wujud program atau pelaksanaan usaha baharu bagi menjana manfaat kepada rakyat.
Katanya, tumpuan sepatutnya terarah kepada komitmen rakyat untuk menjana keuntungan menerusi peluang yang disediakan kerajaan, tanpa mengharapkan sebarang peruntukan insentif atau subsidi seperti disalurkan pentadbiran terdahulu.
“Saya tidak tahu sama ada perkara ini juga berlaku dulu, tetapi sekarang sampai nak makan, bernafas dan lakukan apa saja pun perlukan insentif.
“Salah mentaliti seperti ini,” katanya.
sumber: BH Online