KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER 2018: Kira-kira 50,000 graduan tempatan yang mempunyai kelulusan dalam bidang keusahawanan tetapi tidak memanfaatkannya akan diberi latihan berkaitan.
Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata inisiatif itu adalah antara usaha kerajaan ke arah memupuk sifat keusahawanan dalam kalangan golongan muda.
“Inisiatif Program Penajaan Industri adalah antara perancangan tahun depan yang memfokuskan kepada golongan muda.
“Ia adalah cabaran menukar minda mereka menjadi usahawan muda dan berjaya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-PKR Merbok) berhubung usaha kerajaan dalam meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan usahawan muda untuk bersaing dalam situasi ekonomi semasa.
Mohd Redzuan berkata, berlaku peningkatan pencapaian dari segi kesedaran golongan muda dalam sektor keusahawanan, namun tidak begitu memberangsangkan.
“Kementerian serius terhadap usaha memperkasakan peniaga kecil dan usahawan muda mengharungi cabaran ekonomi semasa.
“Ada beberapa inisiatif yang sudah dan akan dilaksanakan ke arah pemerkasaan ini,” katanya.
Beliau berkata, antara program dilaksanakan adalah Skim Prosper Usahawan Muda oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Katanya, skim terbabit menawarkan pembiayaan kewangan kepada golongan muda menceburi bidang perniagaan strategik dalam sektor peruncitan dan pengedaran.
“Program Go-Ex anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertujuan membantu peniaga kecil dan sederhana mengeksport produk ke pasaran sedia ada dan baharu,” katanya.